BOLA BALING WORLD

Sabtu

LATIHAN PUSAT PASUKAN MSS TERENGGANU

Pasukan MSS Terengganu telah seminggu berkampung di SMK Jenagor Hulu Terengganu menjalani latihan pusat untuk menyertai Kejohanan Bola Baling MSSM di Kuatan pada 8 Jun nanti. Oleh kerana saya tidak mempunyai kelapangan masa maka cerita hanya dapat dibuat malam ini. Esok ialah hari rehat bagi pemain sebelum bertolak ke Kuatan pada pagi 7 Jun. Berehat sepenuhnya agar kalian dapat beraksi cemerlang pada kejohanan tersebut dan membawa kejayaan untuk Terengganu kita.

Kekuatan pemain pada tahun ini meyakinkan kami untuk mengapai kejuaraan bagi tahun 2010 ini buat kali ke-empat berturut-turut memandangkan persiapan yang telah dijalankan dan dengan barisan pemain yang begitu  meyakinkan terutama bagi kategori lelaki bawah 18 tahun di mana hampir 90% adalah pemain yang menjadi johan pada tahun lalu di Kedah. Sasaran kami untuk mengekalkan kejuaraan bagi kategori ini amat cerah kerana pemain-pemain ini telah bersama semenjak tahun 2008 ketika menjuarai kategori bawah 15 tahun. Kami begitu optimis akan mengekalkan kejuaraan untuk kali ini namun tidak akan memandang enteng dengan kekuatan pasukan-pasukan lain pada kejohanan kali ini.

Barisan pemain Lelaki 18 Tahun MSS Terengganu 2010

Selain pasukan lelaki bawah18 tahun, MSS terengganu tahun ini juga memiliki sebuah pasukan bawah 12 tahun lelaki yang mantap dari segi saiz tubuh badan dan kemahiran yang tinggi. Melihat ciri-ciri yang ada, kami yakin pasukan ini juga mampu membawa pulang piala kejuaraan untuk MSS Terengganu. Latihan jitu dan tektikal sistematik yang dikendalikan oleh Cikgu Farid, pasukan ini pastinya akan digeruni oleh pasukan dari negeri-negeri lain khususnya bagi juara bertahan seperti MSS Selangor yang pastinya sukar untuk mempertahankan kejuaraannya.

Pasukan Bawah 12 Tahun MSS Terengganu 2010

Pasukan MSS Terengganu juga akan memberikan cabaran dalam kategori Perempuan 18 Tahun biarpun pasukan kami gagal ke pentas 'final' pada tahun lalu. Dengan keupayaan yang hampir sama dengan tahun lalu, kami mengharapkan agar pasukan ini dapat mengambil pengajaran tahun lalu di mana kelemahannya ialah dalam diri pemain-pemain sendiri dan bukannya kekuatan pasukan lawan. Kegagalan tahun lalu kerana kurangnya persefahaman antara pemain yang berlanjutan sehingga ke dalam gelanggang. Akhir, pasukan P18 kami tumpas dengan MSS Perak di separuh akhir dan seterusnya mereka berjaya merangkul kejuaraan bagi kategori ini. Sesungguhnya, saya yakin dengan keupayaan pemain-pemain P18 tahun ini akan mampu membawa kejayaan untuk kontigen kami di Kuantan pada 8 Jun nanti.

Pasukan MSS Terengganu bagi kategori bawah 18 tahun

Akhir sekali pasukan Perempuan Bawah 12 tahun MSS Terengganu di bawah kendalian saya sendiri sebagai jurulatih, juga akan membawa cabaran di Kejohanan Bola Baling MSS Malaysia di Kuatan pada tahun ini. Saya mengharapkan pasukan ini akan dapat menyumbangkan sesuatu  kepada pasukan MSS Terengganu pada tahun ini biarpun pasukan ini gagal untuk ke separuh akhir di kejohanan yang sama di Kedah tahun lalu.

Barisan pemain pada tahun ini agak meyakinkan dengan memiliki kemahiran dan kepantasan tersendiri. Diketuai oleh Norseha yang mempunyai pengalaman bermain di kejohanan tahun lalu, saya menaruh harapan yang tinggi agar pasukan ini dapat melakarkan sesuatu atau sekurang-kurang ke separuh akhir sepertimana pasukan kendalian saya tahun lalu, Lelaki 12 Tahun yang mendapat tempat ke-3.

Pasukan Perempuan bawah 12 tahun MSS Terengganu 2010

Kesungguhan pemain dan disiplin tinggi yang ditunjukkan ketika sesi latihan selama 10 hari di SMK Jenagor memberikan gambaran bahawa pasukan ini bakal memberikan cabaran kepada pasukan-pasukan lain. Biarpun keadaan makanan yang disediakan oleh kantin asrama di pusat latihan ini tidak 'selesa' dan beberapa kecederaan yang dialami, namun mereka tidak menampakkan ketidakselesaan ini sebagai halangan untuk mencipta kejayaan pada tahun ini. Moga pasukan ini meneruskan semangat tinggi yang ditunjukkan ketika sesi latihan akan berkekalan sehingga kejohanan ini bermula nanti. Pasukan kami ini akan memberikan cabaran kepada dua pasukan elit dari MSS Selangor dan MSS Kelantan yang diletakkan dalam satu kumpulan iaitu Kumpulan C.

Tak lupa juga kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada mereka yang sudi memberikan sumbangan kepada kontigen MSS Terengganu pada tahun ini. Moga sumbangan kalian akan menaikkan lagi semangat kami untuk membawa pulang kejuaraan Bola Baling MSSM buat kali ke-4 berturut-turut. Doakan kejayaan untuk kami. Terima kasih.

SEMOGA  KITA AKAN MENJADI JUARA LAGI!!!... 
TERENGGANU BOLEH!!!!!.....

Tiada ulasan: