BOLA BALING WORLD

Khamis

KARNIVAL BOLA BALING 1M 1S 2011

TARIKH : 14 - 15 OKTOBER 2011
HARI : JUMAAT - SABTU
TEMPAT : KUALA TERENGGANU (SESMA)

Assalam dan salam bahagia....

Pasukan bola baling Dungun yang diwakili oleh SK Kampung Baru Kuala Abang telah menyertai Karnival Bola Baling 1 Murid 1 Sukan yang berlangsung di sekitar Gong Badak Kuala Terengganu. Sebanyak 10 acara yang dijalankan serentak di beberapa lokasi terpilih seperti di Sekolah Menengah Sains Sulta Mahmud, Stadium Hoki dan beberapa tempat lagi di sekitar berdekatan. Kontijen Dungun berkumpul dan menginap di Sekolah Menengah Voksional.

Jadual yang memulakan pada sesi petang Jumaat memperlihatkan kekurangan pengadil yang serius di beberapa venue terutama di gelanggang bola baling. Untuk empat kategori yang melibatkan hampir 36 pasukan yang terbahagi kepada empat kumpulan lelaki dan perempuan serta bawah umur 11 tahun dan bawah 16 tahun hanya diadili oleh beberapa orang pengadil sahaja. Kasihan melihat Cikgu Farid dan Cikgu Khairul bertungkus lumus untuk menjayakan karnival ini walaupun hanya dibantu oleh beberapa orang pengadil. Syabas kepada Cikgu Farid dan Cikgu Khairul kerana usaha kalian untuk melihat karnival ini terus berjaya. Namun seharusnya ini memberi gambaran dan pengajaran kepada pihak-pihak atasan agar melihat perkara ini dengan serius dan membuat kajian, kenapa perkara seperti ini berlaku? Jangan kerana karnival sudah selesai, bermakna karnival ini telah berjaya!..

MSST dan Jabatan Pelajaran Negeri seharusnya mendapat gambaran sebenar tentang perkara ini. Dan sepatutnya masalah pegawai dan pengadil di sesuatu kejohanan tidak disembunyikan oleh pihak-pihak tertentu untuk 'membodek' pihak yang lebih tinggi seolah-oleh kejohanan telah berjalan dengan sempurna.

Berbalik kepada karnival yang disertai oleh pasukan SK Kg Barua Kuala Abang yang mewakili daerah Dungun telah memberikan kejayaan cemerlang kepada kontijen Dungun dengan menjuarai kedua-dua kategori bawah umur 11 tahun. Pasukan P11 telah berjaya mengalahkan pasukan SK Rengas Bekah yang dilatih bekas jurulatih negeri Terengganu, Cikgu Kamaruddin dengan jaringan 4 - 3 untuk membawa pulang pingat emas.

Bagi kategori Lelaki 11 tahun, SK Kg Baru Kuala Abang berjaya menyingkirkan pasukan SK Beladau Kolam di separuh akhir yang dilatih oleh Pengurus Pasukan P12 Terengganu 2010 di Kuatan lalu sebelum berjaya sekali lagi membenamkan pasukan SK Rengas Bekah di perlawanan akhir. Kejayaan berganda ini memberikan suatu hadiah istimewa kepada saya selaku Pengerusi Teknik Bola Baling Rendah yang akan melabuhkan usaha dan menyerahkan jawatan PT ini kepada salah seorang daripada jurulatih-jurulatih yang membawa kejuaraan ini.

Saya percaya pengalaman dan usaha yang berterusan oleh kedua-dua orang jurulatih dari SK Kg Baru Kuala Abang telah memberikan inspirasi kepada saya untuk memberikan peluang kepada mereka untuk terus mngendalikan pasukan daerah Dungun. Dan kualiti yang ada pada mereka seakan-akan sama seperti usaha dan komitmen yang ada pada diri saya suatu ketika dulu..... 

Saya yakin Cikgu Bahaman dan Cikgu Saipolizan mampu untuk pergi lebih jauh lagi bersama bola baling. Keupayaan  menyerap tekanan, memberikan teguran kepada pemain dan komitmen dalam usaha menjadikan pasukan terbaik menyerlahkan keupayaan diri mereka yang sebenar. Memandangkann umur semakin meningkat senja dan kudrat semakin dimamah usia maka sampailah pula masa untuk saya berundur diri setelah sekian lama bergiat dalam sukan khususnya dalam bola baling dan seharusnya memberikan peluang yang lebih luas kepada orang muda untuk meneruskan usaha ini. Moga pasukan Dungun terus berjaya mencipta kemenangan dan seterusnya berjaya melahirkan pemain-pemain berkualiti untuk pasukan Bola Baling Terengganu. 

Sekian.