BOLA BALING WORLD

Isnin

TERENGGANU JUARA LAGI

Salam juara. Tahniah diucapkan kepada MSS Terengganu kerana sekali lagi membawa pulang kejuaraan keseluruhan buat kali ke-4 di Kejohanan Bola Baling MSS Malaysia yang telah berlangsung di Kuantan bermula 8 - 12 Jun 2010. Tahniah kepada semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung di atas kejayaan ini khususnya kepada semua pemain-pemain yang bekerja kuat mengejar dan memberikan kejayaan kepada negeri Terengganu yang dicintai.

 Barisan pemain yang menjuarai Kategori L18 bersama Cikgu Fairuz, Cikgu Musa & Cikgu Nik 

Barisan pemain bersama Cikgu Fauzi dan Cikgu Farid yang menjuarai Kategori L12

Seperti yang diramalkan, pasukan Lelaki Bawah 18 dan 12 tahun MSS Terengganu telah memberikan kejuaraan buat Terengganu setelah mengalahkan pasukan MSS Perak dan MSS Sabah di perlawanan akhir bagi kategori masing-masing. Pasukan L18 MSS Terengganu dengan pemain berpengalaman serta pemain dan penjaga gol terbaik tahun lalu telah berjaya mengatasi tentangan dari MSS Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang telah bermain dengan cemerlang mengalahkan MSS Perak di separuh akhir. Kemenangan ini amat bermakna kepada Cikgu Mohd Fairus dari SMK Jenagor yang telah sekian bersama mereka. Pemain ini telah dibentuk oleh beliau semenjak 2006 lagi dan telah berjaya menjadi johan kategori bawah 15 tahun pada tahun 2008 di Kejohanan Bola Baling MSSM di Melaka dan pada tahun lalu di Kedah, pasukan ini telah berjaya merangkul kejuaraan bagi kategori bawah 18 tahun.

Apa yang membanggakan kami, pasukan ini mempunyai semangat dan disiplin yang tinggi. Ini dapat dilihat dari kekuatan semangat yang dimiliki oleh Mohd Hakimi yang telah terpilih sebagai pemain kejohanan pada kali ini. Pada perlawanan dengan MSS Perlis, beliau telah dikasari oleh pemain MSS Perlis sehingga beliau telah dimasukkan ke hospital. Biarpun telah dinasihati oleh doktor yang merawatnya supaya berehat beberapa hari, namun pada hari berikutnya beliau berdegil untuk bermain agar beliau dapat membantu rakan-rakan sepasukan menburu kejuaraan pada tahun ini. Sememangnya beliau merupakan pemain dan penjaring yang hebat serta geruni oleh pemain-pemain lawan khususnya penjaga gol. Balingannya yang kencang sangat sukar untuk seseorang penjaga gol untuk menghalangnya. Dan sebab itu beliau amat layak untuk dianugerahkan sebagai pemain terbaik kejohanan pada tahun ini. Tahniah Hakimi!!....
Mohd Hakimi
Pemain terbaik Kejohanan Bola Baling MSSM 2010 Kategori Lelaki Bawah 18 Tahun

Pasukan L12 MSS Terengganu juga telah melakar sejarah apabila berjaya menjadi johan buat pertama kali di kejohanan MSSM ini. Dengan memiliki pemain yang memiliki tubuh badan yang tinggi dan gabungan kemahiran yang tinggi seperti Aznil dan Mohd Firdaus yang telah terpilih sebagai pemain terbaik kejohanan pada tahun ini menjadikan pasukan L12 MSS Terengganu begitu hebat dan amat digeruni oleh pasukan lawan. Tektikal berkesan yang digunakan oleh jurulatih Cikgu Farid berjaya mengekang pasukan lawan biarpun pasukan MSS Sabah yang dikalahkan pada perlawanan akhir tidak kurang dengan kehebatan pemain-pemain yang tinggi lampai serta memilki kemahiran yang hampir sama dengan keupayaan pemain-pamain seusia 15 tahun.

Mohd Firdaus
Pemain Terbaik Kejohanan Bola Baling MSSM Kategori Lelaki Bawah 12 Tahun

Perempuan 18 tahun MSS Terengganu masih belum berjaya mengelak badi naib johan di kejohanan MSSM ini apabila buat kali yang ke-5 berturut-turut bermula di kejohanan 2006 di Seremban. Pasukan P18 MSS Terengganu ini gagal merangkul kejuaraan setelah dikalahkan oleh MSS Kelantan dengan balingan penalti setelah masa tambahan masih belum berjaya memutuskan pemenangnya. Namun begitu, 3 orang pemain telah terpilih untuk mewakili Malaysia di Kejohanan Sekolah-sekolah Asean yang akan berlangsung di Thailand tidak lama lagi.

Kegembiraan pemain P12 MSS Terengganu setelah berjaya ke pusingan suku akhir bertemu Kedah, Johan Kumpulan B

Sebagaimana disasarkan, Pasukan P12 MSS Terengganu berjaya keseparuh akhir setelah cemerlang mengalahkan naib juara tahun lalu, MSS Kedah dengan keputusan 7-2. Menanti kami ialah juara tahun lalu, pasukan MSS Johor yang memiliki pemain-pemain yang tinggi keupayaan menjaring serta masih kekal memiliki penjaga gol yang hebat. Pasukan kami kalah agak teruk di mana keupayaan pegawai pertandingan khusus pengadil-pengadil yang diragui akan keupayaannya mengadili perlawanan ini.

Pertemuan separuh akhir antara MSS Terengganu dengan MSS Johor

Namun begitu pasukan ini tidak terkecuali untuk menyumbangkan sesuatu kepada kontigen biarpun hanya berjaya mendapat tempat ke-4. Prestasi yang tidak menentu oleh pemain-pemain, menyebabkan pasukan kami ini telah dikalahkan oleh pasukan tuan rumah MSS Pahang bagi penentuan tempat ke-3/4 dengan jaringan tipis 8-6. Dua pemain utama pasukan ini iaitu Siti Aishah dan Norseha telah terpilih dalam pasukan Malaysia bawah 12 tahun perempuan.

 Siti Aishah & Norseha telah terpilih dalam pilihan Malaysia bawah 12 tahun perempuan

Walaupun pasukan ini tidak mampu ke pertandingan akhir, ianya amat membanggakan saya kerana pasukan ini mempunyai kekuatan semangat serta disiplin yang tinggi. Sesungguhnya jika pemain-pemain ini kekal dalam satu pasukan, saya yakin pemain-pemain ini mampu mencipta sesuatu pada masa depan sebagaimana juga pasukan L18 yang berjaya merangkul kejuaraan 3 tahun berturut-turut di kejohanan MSSM.

Syabas dan tahniah juga diucapkan kepada jurulatih-jurulatih dan pengurus-pengurus pasukan yang berusaha gigih menaikkan nama Terengganu dipersada bola baling Malaysia sehingga menjadikan MSS Terengganu disegani rakan dan lawan. Saya amat kagum dengan semangat dan komitmen kalian biarpun usaha, tenaga dan wang ringgit yang dicurahkan tidak mendapat balasan yang setimpal oleh pihak atasan. Tidak sebagaimana pasukan olahraga yang menjadi juara pada tahun lalu telah mendapat perhatian yang tinggi dan layanan kelas pertama. Kami mengharapkan agar Pengerusi Teknik Bola Baling Terengganu dapat mengadap dan mempersembahkan kejayaan ini kepada Pengarah Pelajaran agar pegawai-pegawai dan pemain-pemain yang terlibat dalam pasukan Bola Baling MSS Terengganu, yang telah membawa pulang kejuaraan buat kali ke-4 ini diraikan dan diberikan layanan kelas pertama juga.

Moga MSS Terengganu akan kekal dengan konsisten mempertahankan kejuaraan pada tahun-tahun akan datang. Rancanglah program pembangunan dan pencarian bakat agar pemain-pemain berkualiti dapat dihasilkan serta hargailah guru-guru seperti di SK Bukit Kuang Kemaman, SK Tanjung Pati, SK Apal Besut, SMK Jenagor dan banyak lagi yang sentiasa berjaya melahirkan pemain-pemain berkualiti untuk MSS Terengganu. Bagi saya, mungkin tahun ini adalah tahun terakhir bersama pasukan bola baling MSS Terengganu memandang telah lahir 'jurulatih baru' yang berkaliber dan memiliki komitmen serta rasa cinta yang tinggi terhadap bola baling seperti Cikgu Fairus di SMK Jenagor dan Cikgu Farid di SK Seri Buluh. Harapan saya agar jurulatih-jurulatih ini meneruskan usaha memartabatkan bola baling MSS Terengganu di persada bola baling Malaysia.

TAHNIAH!!!..
MSS TERENGGANU JUARA LAGI!!!...

Tiada ulasan: