Salam juara buat semua khususnya kepada pemain-pemain serta pegawai-pegawai bola baling MSS Terengganu 2010. Hari ini akan saya ceritakan sedikit kenangan manis bersama pasukan P12 2010 biarpun banyak juga kenangan pahit yang turut sama mengiringi sepanjang berada di kejohanan Bola Baling MSSM pada tahun ini.
Sukar untuk menafikan betapa indahnya rasa di hati ini kerana dapat membentuk satu pasukan yang hebat biarpun kami tidak berupaya membawa pulang kejuaraan untuk tahun ini. Tapi kepuasan terpancar di hati ini bila melihat sebuah pasukan yang amat hebat telah lahir hasil bimbingan kita. Hebat tidak semestinya kita dapat menjuarai sesuatu kejohanan tetapi dapat membentuk dan membina pasukan yang mempunyai daya usaha gigih, berdisplin dan berdedikasi tinggi untuk memburu kemenangan. Hebatnya pasukan P12 ini kerana kesepakatan dan kesepaduan yang terbina, berjaya membimbing rakan yang bermasalah sehingga menjadi pemain yang amat disegani dan keriangan serta kegembiraan bila bersama. Selain itu kesungguhan untuk memperbaiki kelemahan diri, menjadikan pasukan P12 ini amat kami kagumi.
Berdiri dari belakang: Siti Aishah, Afifah (Mok Chik), Faqihah, Fika, Cikgu Kamarudin, Seha, Cikgu Nik, Najwa. Duduk dari kiri: Fatin, Hajar, Zila, Teacher Nor, Wani, Ainnur dan Syahirah
Lebih terharu bagi seorang jurulatih bila pemain-pemainnya yang telah berusaha bersungguh-sungguh, bermain 'bermati-matian' datang memohon kemaafan kerana gagal memberikan kemenangan. Hampir menitis air mata ini melihat anak buah dengan esakan dan deraian air mata memohon maaf kerana kegagalan mencapai misi. Inilah gambaran betapa pasukan P12 2010 ini memiliki semangat juang serta kesungguhan yang tinggi ingin mencapai kemenangan. Namun, rezeki mereka tahun ini hanya tempat ke-4 dan kami akur dengan kehebatan lawan namun rasa duka kerana pegawai yang mengadili kurang arif dan tidak sewajarnya mengendalikan perlawanan yang besar seperti ini. Kami percaya jika pasukan ini dapat dikekalkan untuk tahun-tahun mendatang, sudah pasti ia akan menjadi sebuah pasukan yang disegani dan akan memberikan kejayaan untuk MSS Terengganu. Insya-Allah.
Aishah yang saya kenal sejak tahun lalu bersama pasukan MSS Dungun merupakan pemain degil dan keras kepala. Namun beliau telah menjadi pemain kebanggaan kerana terpilih dalam pilihan Malaysia. Hasil bimbingan rakan-rakan, sikap keras kepala dan degil hilang. Membentuk sikap dan keperibadian yang baru yang disenangi rakan dan guru. Beliau juga merupakan penjaring utama bagi pasukan. Balingannya yang tepat serta padu menyukarkan pengjaga gol lawan untuk menghalangnya. Dan paling mengagumkan bila balingan dari jarak 10 meter terkena palang gol lawan dan kembali melantun melepasi garisan tengah padang, memasuki kawasan sendiri. Ini menunjukkan balingannya cukup kuat dan padu. Menyamai balingan pemain lelaki. Jarang pemain-pemain yang seusianya mampu lakukan apatah lagi bagi seorang pemain perempuan bawah 12 tahun..
Afifah: Antara pemain yang pada awalnya akan digugurkan memandangkan kebolehannya agak meragukan serta kami amat memerlukan seorang pemain kidal untuk memantapkan pasukan. Namun, pilihan akhirnya mengekalnya dalam pasukan dibalas dengan usaha yang gigih memperbaiki kelemahan diri dan menunjukkan persembahan yang mengagumkan serta memberikan gol kemenangan ketika menentang MSS Selangor di pusingan awal yang akhirnya melayakkan pasukan kami ke suku akhir. Walaupun tubuhnya nampak kurus namun ia keras dan lasak orangnya. Lebih dikenali dengan nama glemournya 'mokcik'.
Faqihah: Salah seorang anak didik Cikgu Din dari SK Bukit Wan. Keras dan lasak. Seorang pemain belakang yang bekerja keras mengekang asakan dari pasukan lawan. Seorang yang berdisiplin serta patuh akan tugasan yang diberikan. Semangat tinggi menegur dan memberikan arahan kepada rakan-rakan sehingga suara serak sebelum kejohanan berakhir.
Fika: Pemain yang dihasilkan oleh program pembangunan bola baling SK Lintang oleh Teacher Nor. Walaupun sekolah ini kecil bilangan pelajarnya namun dapat melahirkan pemain-pemain bola baling yang berkualiti untuk pasukan MSS Terengganu. Kebolehan dan kepantasannya sangat mengagumkan namun kurang keyakinan diri untuk melakukkan aksi-aksi yang diperlu, yang boleh dilakukannya. Beliau akhir berjaya juga menjaringkan gol du kejohanan ini walaupun masuk sekadar pengganti kepada rakan-rakan yang keletihan. Kekuatan semangatnya juga tidak dapat dinafikan. Biarpun hidungnya berdarah namun dengan penuh kesungguhan memohon untuk beraksi.
Seha: Ketua pasukan yang mempunyai perwatakan yang cemerlang. Satu-satunya pemain yang pernah beraksi di kejohanan MSSM di Kedah tahun lalu namun prestasi yang tidak menentu pada tahun ini sesungguhnya menghampakan memandangkan beliau merupakan salah seorang pemain harapan saya selain dari Aishah. Kebolehan memimpin pasukan amat dikagumi sehingga menjadikan pasukan ini sentiasa riang dan gembira tanpa sebarang masalah. Kesabaran dan ketabahan yang ada dalam dirinya juga banyak membantu pasukan terutama ketika kami mengalami kekalahan. Saya yakin, kemahiran yang tinggi, kelincahan dan kepintaran yang ada akan menjadikannya pemain yang disegani suatu hari nanti.
Najwa: Salah seorang penjaga gol yang cemerlang. Sukar untuk saya memilih penjaga gol utama pasukan kerana kedua-dua penjaga gol yang ada termasuk beliau sendiri mempunyai kebolehan yang sama. Mempunyai keperibadian yang baik serta penuh berdisiplin sangat disenangi oleh rakan-rakan dan guru. Awal mendapat tentangan dari bapa untuk menyertai pasukan bola baling baling, namun atas nasihat yang diberikan beliau telah membuktikan kepada ibu bapanya bahawa bergiat aktif dalam sukan tidak akan menggangu pembelajarannya. Beliau telah berjaya mendapat 4A 1B dalam peperiksaan sebelum ke pusat latihan di SMK Jenagor. Kami percaya, Najwa akan berjaya dalam bidang yang diceburi berdasarkan kesungguhan dan komitmen yang tinggi.
Fatin: Seorang lagi pemain yang dilahirkan oleh Cikgu Din SK Bukit Wan yang mempunyai kemahiran yang tinggi dengan 'balingan tarikan dari belakang'. Walaupun susuk tubuh tidak besar namun mampu menyumbangkan gol yang bermakna kepada pasukan. Cuma kurang keyakinan dalam diri menyebabkan beliau kurang menggunakan kemahiran yang ada di sepanjang kejohanan ini. Kesungguhan yang tinggi untuk bersama menyumbangkan sesuatu kepada pasukan menyebabkan beliau lupa kesakitan bibir yang dialaminya. Komitmennya terhadap pasukan memang patut diberikan pujian dan selayaknya beliau dilantik sebagai penolong ketua pasukan. Moga beliau akan terus bersama pasukan bola baling walau di mana beliau belajar selepas ini kerana amat rugi jika kita kehilangan pemain yang berbakat sepertinya.
Hajar : Rakan sekolah Fatin yang juga dari SK Bukit Wan ini adalah kombinasi yang amat serasi bila bersama. Ketinggian tubuh badan yang hampir sama dengan Fatin dan beliau merupakan pemain yang amat berdisiplin ketika latihan. Mudah dibentuk dan sentiasa mendengar arahan dan cepat memperbaiki kelemahan diri. Rasanya, beliaulah orang paling kecewa akan kekalahan pasukan kami di perlawan separuh akhir memandangkan esak tangisnya yang amat sangat.
Zila : Pemain kidal dari SK Binjai Kemaman ini dipanggil saat akhir namun tidak mampu memikul tugas yang diberikan dengan jayanya. Sebab itu belaiu hanya dimasukkan sekali sekala sahaja. Walaupun begitu beliau cepat mempelajari kemahiran-kemahiran baru yang diberikan serta mudah menyesuaikan diri dalam pasukan.
Wani : Anak didik Cikgu Razak dari SK Gong Badak. Cekap dan tangkas mengawal pintu gol namun sedikit beremosi. Dengan susuk tubuh yang kemas, amat bertepatan dengan posisinya sebagai penjaga gol.
Ainnur : Pemain kecik molek dari SK Bukit Kuang Kemaman yang lincah di luar dan diluar padang. Keriuhan ngomelannya menjadikan pasukan kami sentiasa riuh dengan gelak ketawa. Lebih mudah dipanggil dengan nama manja 'Non'. Sokongan ibu bapa yang sudi hadir ke tempat kejohanan, menjadikan beliau seorang yang benar-benar bersemangat. Namun beliau gagal untuk menyumbangkan gol di kejohanan ini. Banyak percubaan-percubaannya telah berjaya diselamatkan oleh penjaga gol biarpun nampak seakan boleh menghasilkan gol. Sesungguhnya komitmen yang dicurahkan amat-amat kami hargai. Tak lupa juga kepada kedua ibu bapanya yang sentiasa bersama pasukan kami. TQVM
Syahirah : Pemain lemah lembut dan 'tidak banyak mulut' dari SK Bukit Jeruk Besut ini juga gagal menyumbangkan sebarang gol di kejohanan kali ini biarpun banyak percubaan yang telah dilakukannya. Dengan pelbagai cara dan teknik, namun beliau gagal menjaringkannya. Jika masuk ke jaringpun, gol tersebut tidak dikira oleh pengadil. Mempunyai kemahiran yang tinggi dan tubuh badan yang tinggi serta sasa, beliau berpotensi menjadi pemain yang cemerlang jika terus menceburi dalam pemainan bola baling. Satu keistimewaan yang dimiliki pemain ini, beliau mampu menggunakan kedua-dua belah tangan untuk membaling Kemahiran ini tidak dimiliki oleh pemain-pemain lain.
Harapan saya agar kesemua pemain-pemain P12 MSS Terengganu 2010 ini akan terus bersama dengan bola baling dan akan membentuk pasukan bawah 15 dan 18 tahun MSS Terengganu suatu hari nanti. Saya selaku jurulatih pasukan memohon kemaafan dari kalian di atas kekerasan dan 'kebengkengan' kepada kalian ketika latihan dan juga semasa perlawanan. Kenangan bersama kalian adalah kenangan terindah yang sukar untuk dilupakan. Moga kita akan berjumpa lagi di lain masa!....
SEMOGA KALIAN SUKSES SELALU!!!!....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan