BOLA BALING WORLD

Ahad

LATIHAN FASA 1 PERINGKAT 2


Assalamualaikum... dan salam sejahtera.

Hari ini sesi latihan akan diteruskan dengan latihan fasa 1 tetapi memasuki peringkat 2. Satu lagi kemahiran yang perlu dikuasai oleh pemain bola baling iaitu hantaran aras dada. Hantaran ini seringkali digunakan oleh pemain-pamain terutama bagi pasukan amatur seperti pelajar-pelajar sekolah dalam sesuatu kejohanan atau pertandingan. Oleh itu, kali ini saya akan menerangkan bagaimana untuk melakukan 'drill' untuk latihan hantaran aras dada.

Perkara pertama, jurulatih perlu menerangkan kedudukan tangan pemain ketika melakukan tolakan hantaran aras dada ini. Kedudukan tangan 'mengembang' atau 'mengepak' di mana bola berada pada aras dada. Pasti pegangan bola adalah sama dengan kaedah menyambut bola yang betul.


 Kedudukan ketika menerima dan menangkap bola

  Kedudukan tangan ketika menerima dan memegang bola untuk melakukan tolakan hantaran aras dada 

     
Bola dari aras dada ditolak serentak dengan satu langkah kaki ke hadapan 

Keadaan tangan ikut lajak setelah melepaskan bola diikuti langkah kaki ke hadapan

Gerakan untuk membuat hantaran aras dada ini dimulai dengan gerak sendi siku, diikuti dengan gerakan pergelangan tangan dan diakhiri dengan tolakan jari pada bola. Gerakan dilakukan serentak dengan gerak satu langkah kaki ke hadapan dengan keadaan lutut yang kendur sedikit pada awalnya. Tambahan pada sedikit lonjakan kaki belakang untuk menambahkan kuasa tolakan ke hadapan.

Penting dalam latihan ini, kita mesti memastikan kedudukan tangan bukan di tepi bola tetapi di belakang bola ketika melakukan tolakan. Ramai pemain yang memegang di tepi bola ketika melakukan kemahiran ini kerana berpunca dari kesalahan mereka ketika menangkap atau menyambut bola. Oleh itu, untuk menjadikan kemahiran ini lebih mudah untuk dikuasai kita perlu memastikan kemahiran menangkap bola telah diperbetulkan terlebih dahulu.

Kemahiran menghantar bola aras dada secara statik ini juga memerlukan masa untuk pemain dapat menguasai dengan baik. Sekurang-kurangnya kita memerlukan beberapa hari untuk menjadikan pemain-pemain kita benar-benar dapat menguasainya sebelum kita beralih kepada kemahiran yang lebih tinggi dalam kemahiran ini. Latih tubi perlu dilakukan dengan kerap atau banyak. Lebih baik menggunakan sekurang-kurangnya satu bola untuk dua orang supaya latih tubi atau 'drill' untuk kemahiran asas ini dapat dilakukan dengan banyak bagi seseorang pemain. dan jika sekiranya tempat latihan kita mempunyai tembok atau dinding, berikan sebiji bola untuk seorang pemain melakukan 'drill' untuk kemahiran ini.

Lanjutan kepada kemahiran ini, kita boleh melakukan dengan cara bergerak perlahan berpasangan. Tumpukan kepada hantaran bola ke arah kawan bergerak. Arah tuju bola ke arah mana kawan bergerak dan pastikan hantaran dalam jangkauan rakan dan tidak terlalu jauh ke hadapan dan tidak tertinggal di belakang.

Seterusnya kemahiran ini diteruskan dengan larian anak ke arah gol lawan. Istilah 'one two' sering digunapakai oleh jurulatih kepada kemahiran peringkat ini.  Kemahiran ini menggunakan sepenuhnya ruang atau gelanggang permainan. Pada peringkat ini kita boleh menambahkan sedikit dengan kemahiran menjaring di akhir hantaran 'one two' tadi. Memulakan dengan hantaran penjaga gol dan dilakukan berpasangan seterusnya melakukan jaringan.

Tiada ulasan: