BOLA BALING WORLD

Selasa

SOLAT JAMAK UNTUK MUSAFIR

Sedang melayari sebuah laman web, saya ternampak panduan menunaikan solat jama' dan qasar bagi mereka yang selalu ke luar stesyen atau bermusafir terutama rakan-rakan yang terlibat dalam sukan dan khususnya kepada pelajar-pelajar yang masih ramai tidak tahu bagaimana menunaikan solat ketika bermusafir. Semoga ianya dapat membantu dan memudahkan pelajar-pelajar khsussnya pemain-pemain bola baling menunaikan solat ketika menyertai pertandingan-pertandingan yang jauh perjalanannya.  So, di sini saya masukkan cara-caranya seperti dalam laman web: http://www.e-solat.gov.my/

Solat Qasar

Takrifan

Solat Qasar adalah mengqasarkan (memendekkan) solat yang empat rakaat iaitu Zuhur, Asar dan Isya’ kepada dua rakaat sementara solat Maghrib dan solat Subuh tidak boleh  diqasarkan.

Hukum Qasar

Harus berdasarkan kepada dalil berikut:
  • Al-Quran surah al-Nisa’ ayat 101 yang bermaksud;
      “Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa mengqasarkan (memendekkan) solat jika kamu takut diserang oleh orang kafir…”
  • Al-Sunnah yang bermaksud;
      ‘Ya’la bin Umayyah pernah bertanya kepada Umar bin al-Khattab, “Kenapa kita perlu mengqasarkan solat sedangkan kita berada dalam keamanan?” Lalu beliau menjawab, “Aku telah bertanya kepada Nabi s.a.w., dan Baginda bersabda, solat qasar itu adalah sedekah yang Tuhan telah bersedekah kepadamu, maka terimalah sekalian kamu akan sedekah-Nya”  (Riwayat al-Nasa’i dan Abu Daud) 
  
Jarak Dibenarkan Qasar
Dua marhalah iaitu empat burudin di mana setiap burudin mempunyai empat farsakh dan setiap farsakh terdiri daripada 5514 meter mengikut kiraan moden. Dari itu, dua marhalah adalah bersamaan 89 kilometer.

Syarat Solat Qasar
  • Hendaklah pelayaran atau perjalanan itu diharuskan oleh syara’.
  • Jauh pelayaran atau perjalanan itu tidak kurang daripada dua marhalah (89 kilometer / 56 batu).
  • Berniat qasar di dalam takbiratul ihram.
  • Tidak berimam dengan orang yang solat tamam (sempurna).
  • Hendaklah solat yang diqasarkan itu terdiri dari solat empat rakaat.

1.5  Contoh Niat
                       أصلي فرض الظهر ركعتين قصرا لله تعالى
   (Sahaja aku solat fardhu Zuhur dua rakaat Qasar kerana  Allah Taala)

Solat Jama'

2.1   Takrifan
Solat Jama’ terbahagi kepada :
  1. Jama’ Taqdim iaitu mengerjakan solat Zuhur dan solat Asar dalam waktu Zuhur atau solat Maghrib dan solat Isya’ dalam waktu Maghrib.
  2. Jama’ Ta’khir iaitu mengerjakan solat Zuhur dan solat Asar dalam waktu Asar atau solat Maghrib dan solat Isya’ dalam waktu Isya’. 
Syarat Solat Jama’

Solat Jama’ Taqdim 
  • Hendaklah bersolat secara tertib iaitu mendahulukan solat Zuhur daripada solat Asar dan solat Maghrib daripada solat Isya'.
  • Hendaklah niat Jama’ Taqdim di dalam solat pertama sebelum salam tetapi yang afdhalnya di dalam takbiratul ihram.
  • Berturut-turut di antara solat yang dijama’kan itu.
  • Berkekalan pelayaran atau perjalanan itu hingga takbiratul ihram solat yang kedua.
  • Berkeyakinan adanya waktu solat yang pertama (Zuhur atau Maghrib) berkekalan sehingga didirikan solat yang kedua (Asar atau Isya’).
Solat Jama’ Ta’khir 
  • Hendaklah berniat jama’ dalam waktu pertama iaitu Zuhur atau Maghrib.
  • Berkekalan pelayaran atau perjalanan hingga memberi salam solat yang kedua.  
Contoh Niat Jama’ Taqdim

Jama’ Taqdim Empat Rakaat
  صلي فرض الظهر اربع ركعات مجموعا إليه العصر اداء لله تعالى 
Sahaja aku solat fardhu Zuhur empat rakaat dihimpunkan kepadanya Asar tunai kerana Allah Taala)

Niat Jama’ Taqdim Beserta Qasar
أصلي فرض الظهر ركعتين قصرا مجموعا إليه العصر اداء لله تعالى
 Sahaja aku solat fardhu Zuhur dua rakaat dihimpunkan kepadanya Asar tunai kerana Allah Taala)

Niat Jama’ Ta’khir

Jama’ Ta’khir Empat Rakaat
 أصلي فرض الظهر اربع ركعات مجموعا إلى العصر اداء لله تعالى
  Sahaja aku solat fardhu Zuhur empat rakaat dihimpunkan kepada Asar tunai kerana Allah Taala)

Niat Jama’ Ta’khir Beserta Qasar
أصلي فرض الظهر ركعتين قصرا مجموعا إلى العصر اداء لله تعالى
  Sahaja aku solat fardhu Zuhur dua rakaat dihimpunkan kepada Asar tunai kerana Allah Taala)

Moga kalian dapat meneruskan ibadat solat walau di manapun kalian berada.

Tiada ulasan: