Assalamualaikum....
Taubat ialah
perkataan dalam bahasa Arab yang bermaksud rasa bersalah atau menyesal
di atas perlakuan atau perbuatan yang yang salah atau tidak baik.
1. Secara umumnya taubat bermaksud kekesalan dan keinsafan terhadap
dosa yang dilakukan, lalu memohon keampunan Allah dan berazam untuk
tidak mengulanginya lagi. Ini berdasarkan firman Allah: maksudnya:
“Dan mereka yang apabila melakukan perbuatan keji, atau
menganiaya diri sendiri, mereka ingat kepada Allah lalu memohon ampun
dosa-dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa
melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan (perbuatan buruk)
yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya
dan akibatnya). Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya adalah
keampunan dari Tuhan mereka, dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya
beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah
sebaik-baik balasan (bagi) mereka yang beramal” (Surah Ali ‘Imran:
135-136).
Maka, asalnya taubat itu di samping keinsafan dan memohon keampunan, ia juga adalah azam untuk tidak mengulanginya.
2. Keikhlasan atau kesungguhan seseorang yang bertaubat itu hanya
diketahui oleh Allah dan dirinya sendiri. Ketika dia bertaubat, jika ia
lahir dari keikhlasan maka perasaan khusyuk, duka, insaf, mengharapkan
keampunan Allah akan menyelinap masuk ke dalam setiap pelusuk jiwanya.
Airmata keinsafan antara bukti kejujuran insan yang menyesal dan
mengharapkan keampunan. Keinginan untuk berada dalam keampunan itu akan
membawanya kepada azam untuk tidak mengulangi dosa. Jika taubat seperti
itu berlaku, maka itu adalah taubat yang nasuha atau yang ikhlas. Ia
diterima Allah.
Sekalipun kemungkinan selepas itu, atas kelemahan diri dan kecuaian,
hamba yang bartaubat tadi tergelincir sekali lagi ke dalam dosa yang
sama. Jika, dia ikhlas pada taubatnya yang awal, Allah Maha
Mengetahuinya dan insyaAllah akan mengampuni dosanya yang awal, juga
dosa kemudian jika dia terus bertaubat lagi.
3. Taubat yang sebenar bukan satu perkara yang boleh dibuat-buat. Ia
bukan satu lakonan. Perasaan keinsafan yang hadir dalam jiwa seorang
hamba bukannya perkara yang diada-adakan. Ia adalah cahaya iman yang
lahir dari kekudusan jiwa yang mengakui kebesaran Allah dan takutkan
dosa. Apabila perasaan kerohanian itu wujud, maka seorang hamba pun
bertaubat dengan penuh insaf dan nekad untuk tidak mengulangi. Siapakah
yang mengetahui kewujudan perasaan itu dalam sesuatu jiwa? Sudah pasti
hanya Allah dan insan yang bertaubat itu sendiri. Jika keadaan yang
disebutkan itu berlaku, insan itu sebenarnya telah benar-benar
bertaubat.
4. Insan atau anak Adam itu ada kelemahannya. Kadang-kala dia
terjatuh lagi dalam kesalahan setelah bertaubat dengan
bersungguh-sungguh. Ini –seperti yang dijelaskan- kegelinciran kedua
atau ketiga dan seterusnya tidaklah bererti dia tidak ikhlas dalam
taubatnya yang sebelum itu. Namun, kelemahannya menyebabkan dia berulang
kali jatuh ke dalam dosa, sekalipun telah benar-benar insaf sebelumnya.
Maka, jika hal ini berlaku dia hendaklah mengulangi taubat dan jangan
berputus asa. Syaitan akan membisikkan perasaan putus asa dalam jiwa,
sedangkan Allah Maha Pengampun Lagi Maha Penerima taubat.
5. Hal ini dijelaskan oleh Nabi s.a.w dalam hadis baginda:
“Seorang telah melakukan satu dosa, lalu dia berkata:
Wahai Tuhanku ampunilah dosaku. Lalu Allah azza wa jalla berfirman:
HambaKu melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang
boleh mengampun dan menghukumnya –dalam riwayat yang lain ditambah: Aku
ampunkan dosanya-. Kemudian dia kembali melakukan dosa yang lain, dia
berkata: Wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu
Allah berfirman: HambaKu melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya
tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya–dalam riwayat yang lain
ditambah: aku ampunkan dosanya-. Lalu dia melakukan dosa sekali lagi,
dia berkata: wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku.
Lalu Allah berfirman: HambaKu melakukan dan dia mengetahui bahawa
baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya, maka aku ampunkan
hambaKu ini, buatlah apa yang kau mahu aku ampunkan engkau”. (Riwayat
al-Bukhari dan Muslim).
6. Dari hadis di atas menggambarkan, selagi seseorang hamba Allah
menyesal dan insaf, sekalipun telah berulang dosa, Allah Yang Maha
Pengampun tetap mengampuninya. Namun, hendaklah kita berhati-hati kerana
waktu kematian tidak pasti. Orang yang bertaubat dan berjaya mengawal
dirinya tentulah lebih baik dari yang gagal mengawal diri. Tidak
mustahil ketika dia gagal mengawal diri itu, kematian menjemputnya
pergi.
7. Apapun, pintu taubat dalam Islam ini sentiasa terbuka. Tidak kira
besar mana pun dosa, berapa kali ia mengulanginya. Insan jangan berputus
asa dari rahmat Allah. Firman Allah: (maksudnya):
“Katakanlah: “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui
batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat),
janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya
Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha
Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah az-Zumar: 53).
Putus asa dari rahmat Allah adalah bisikan syaitan yang enggan melihat hamba-hamba Allah kembali kepada Allah.
8. Antara cara untuk memboleh kita istiqamah dengan taubat kita ialah
memohon pertolongan Allah agar kita tetap atas jalan hidayah. Al-Quran
mengajar kita doa: (maksudnya)
“Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau memesongkan hati kami
sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada Kami
limpah rahmat dari sisiMu; Sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang
melimpah-limpah pemberianNya” (Surah Ali ‘Imran: 8).
Nabi s.a.w pula selalu membanyakkan doa:
“Wahai Yang Membolak-balikkan jantung hati (Allah)!
Tetapkan daku atas agamuMu” (Riwayat al-Tirmizi, Ahmad, Ibn Abi ‘Asim-
dinilai sahih).
9. Juga, antara langkah mengekalkan dalam kebaikan adalah dengan
mendampingi mereka yang baik dan soleh. Teman yang baik dan mahukan
kebaikan akan membawa kita berterusan dalam kebaikan. Begitulah
sebaliknya. Firman Allah: (maksudnya)
“dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan
orang-orang yang menyeru Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang
mengharapkan keredaanNya semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan
pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup
di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui jantung
hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami, serta
dia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui
kebenaran”. (Surah al-Kahfi: 28).
Hiduplah dalam lingkungan teman-teman yang selalu berpesan-pesan kepada kebenaran dan kesabaran.
10. Maka, diingatkan jangan kita berputus asa dari rahmat Allah, dan
jangan kita jadikan orang lain berputus asa dari rahmat Allah. Insan
mempunyai peluang bertaubat sehingga nyawa ke halkumnya. Sabda Nabi:
“Sesungguhnya Allah menerima taubat seorang hamba selagi
nyawa belum sampai ke halkumnya” (Riwayat al-Tirmizi, dinilai hasan oleh
al-Albani).
Sumber dari http://drmaza.com/home/?p=1301